Monday, June 30, 2008

Tangis insaf, zikir hidupkan jiwa mati

Air mata takut hari pembalasan untuk tambah ilmu lebih mahal daripada isi dunia


DUA belah mata boleh menangis, tetapi hati tetap reda atas ketentuan-Nya. Demikianlah keadaan orang Mukmin yang bersedih. Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya adalah lumrah kehidupan.

Seseorang itu tidak mungkin hanya melalui satu episod dalam kehidupannya, sedih dan menangis untuk selama-lamanya. Semua akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal di dunia ini.

Orang beriman berada di atas batas pertengahan, tidak berlebih-lebihan mengungkapkan perasaan yang bergejolak di hati. Inilah yang disebut sebagai jiwa hamba yang zuhud. Apabila mendapat nikmat, tidak terlalu gembira dan jika diserang musibah tidak pula terlalu bersedih. Semua dikembalikan kepada ketentuan Allah semata-mata.

Menangis adalah suatu ungkapan perasaan normal pada diri manusia. Biasanya manusia menangis atas sebab tertentu. Mungkin berduka kerana sudah kembali kepada Allah seseorang yang mereka kasihi. Kerana rindu yang menyeksa kepada orang disayangi.

Begitu juga orang akan menangis apabila menahan sakit, tidak kira sakit kerana dilukai perasaannya ataupun sakit pada zahir tubuh badannya. Orang akan menangis apabila kehilangan harta, diseksa dan dizalimi, diusir atau dihina peribadinya dan dimalukan di khalayak ramai.

Menurut al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah, tangisan boleh diperincikan menjadi 10 jenis mengikut pelbagai maksud dan tujuan. Tangisan kasih sayang, ketakutan, gembira, kegundahan, cinta dan rindu, kesedihan, tidak berdaya, kemunafikan, orang upahan dan tangisan ikut-ikutan.

Satu tangisan yang istimewa dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya. Tangisan ini tidak bersifat melemahkan semangat, bahkan ia boleh menghidupkan jiwa yang sudah lama mati. Ia tidak mendatangkan rasa putus asa dan kesakitan, bahkan air mata ibarat gelombang membangkitkan rasa optimis, kecekalan dan azam bergelora.

Tangisan itu membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan ia mampu mencelikkan pandangan mata hati meneroka alam lebih jauh lagi. Alam ghaib tidak nampak di mata kasar, hanya hati yang beriman boleh merasai kebenarannya. Tangisan itu dianugerahkan kepada Nabi dan Rasul, syuhada dan orang salih. Mereka berhak mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan, selain perlindungan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dan seseorang yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu berlinanganlah air matanya kerana takutkan Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Tangisan itu mendatangkan kelembutan hati dan membangkitkan rasa takut kepada Allah. Saidatina Aisyah Ummul Mukminin menangis ketika membaca ayat al-Quran dalam sembahyangnya, yang bermaksud: "Maka Allah memberi kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka." (Surah al-Tur, ayat 27)

Dan menangis pula ketika membaca ayat Allah yang bermaksud: "Jika Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Maidah, ayat 118)

Saidina Umar al-Khatab berkata: "Seandainya ada seruan dari langit yang mengatakan: Wahai manusia, sesungguhnya kalian semua masuk syurga, kecuali seorang. Tentulah aku amat takut kalaulah orang itu adalah diriku." Maka beliau pun teresak-esak demi membayangkan kengerian peristiwa itu.

Saidina Ali bin Abi Talib berkata: "Sesungguhnya aku menyaksikan sahabat Rasulullah SAW, tetapi kini aku tidak menemukan lagi orang seperti mereka. Sesungguhnya mereka berpagi-pagi dalam keadaan yang kusut, mata yang bengkak kerana menangis ketika qiyam pada malam hari. Mereka membaca al-Quran sambil berdiri, duduk dan berbaring pada lambung mereka. Mereka berzikir dengan tubuh yang bergoncang bagaikan pohon ditiup angin kuat sedangkan mata mereka basah oleh air mata sehingga membasahi pakaian mereka. Demi Allah, seolah-olah keadaan umat sekarang seperti umat yang semalaman dalam keadaan lalai."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku belum pernah melihat sesuatu yang boleh menyebabkan orang yang tidur terbangun lantas lari daripada satu ancaman seperti ancaman neraka." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Malam yang panjang itu sebenarnya ada bahagian untuk melembutkan hati, ada ruang mengadu kepada Allah, ada peluang mengetuk pintu maghfirah-Nya, ada kesempatan meminta perlindungan daripada azab neraka. Tetapi manusia yang lalai sudah melepaskan peluang keemasan itu untuk sekadar menikmati mimpi yang sebenarnya tidak dapat memuaskan hati.

Untuk mencapai darjat iman yang tinggi seperti sahabat Rasulullah SAW, tentu banyak rintangan yang harus dihadapi. Malas dan leka dengan permainan serta hiburan membuat hati manusia keras, ditambah lagi kurangnya ilmu, penghayatan mengenai jalan mendekatkan diri kepada Allah.

Kesibukan memuaskan nafsu syahwat terlalu mengganggu kekhusyukan hati. Akhirnya kelalaian itu menjadi kebiasaan, bagi yang sudah terbiasa akhirnya bukan menjadi suatu keaiban lagi selepasnya. Semakin lama dirinya semakin tenggelam kealpaan. Bahawa kita perlukan pertolongan Allah kerana hanya Allah yang berkuasa menyelamatkan manusia daripada kejahatan dirinya sendiri.

Allah berfirman menerusi lisan Nabi Yusuf yang bermaksud: "Sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku." (Surah Yusuf, ayat 53)

Apabila nafsu sentiasa menyuruh berbuat maksiat, lalai dan menunda amal maka keraslah hati dan keringlah mata daripada air mata taubat. Jika berdiri untuk sembahyang, akalnya menjelajah hingga ke seluruh ruang pemikiran yang terpendam dalam memorinya. Barang yang hilang pun boleh diingat di manakah tempat menyimpannya.

Maka terbukti sembahyangnya kosong, hatinya hampa, fikirannya tidak menumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah. Bagaimanakah matanya boleh menangis, hatinya boleh takut dan akalnya boleh tunduk di hadapan Maha Pencipta?

Begitu juga ketika membaca ayat al-Quran, ia hanya semata-mata untuk pahala, kerana ilmunya belum sampai kepada penghayatan yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran. Padahal Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam kesedihan. Maka menangislah apabila kamu membacanya. Jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. Dan elokkan suara saat membacanya kerana siapa yang tidak melagukannya dia bukanlah termasuk golongan kami." (Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Ya'la dan al-Baihaqi daripada Saad bin Abi Waqqash)

Rasulullah SAW pernah meminta Abdullah bin Mas'ud untuk membacakan al-Quran kepada Baginda. Beliau membaca awal surah al-Nisa hingga ke ayat 41 dan beliau melihat Rasulullah SAW menitiskan air mata.

Abdullah bin al-Syakir berkata: "Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika Baginda bersembahyang, sementara dari dalam tubuhnya terdengar suara seperti air yang mendidih kerana tangisan." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Bagaimana jika air mata tidak juga mahu keluar, puas sudah hati memaksa sedih supaya kekhusyukan boleh singgah, walaupun sekejap. Kesilapan apakah yang dilakukan hamba Allah yang tidak dapat menangis ini?

Pertama, kerana ceteknya ilmu sehingga hati dan akalnya tidak dapat meneroka lebih jauh memikirkan keagungan Allah. Kedua, kerana dirinya tidak merasai kesusahan ujian dan musibah, segalanya berjalan dengan aman dan lancar dalam kehidupannya sehari-hari.

Ketiga, berlebih-lebihan dalam bergembira, bergurau dan bermain-main. Keempat, kurang muhasabah dan bertafakur melihat kelemahan dan kekurangan diri. Dan yang kelima, berlebihan pula membanggakan amal sehingga mematikan rasa takut kepada Allah.

Menangis tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lemah bahkan menangis kerana takut kepada Allah boleh melonjakkan semangat seorang hamba untuk mengorbankan segala-galanya yang dimiliki demi Tuhannya.

Bukankah syuhada menumpahkan darahnya kerana meninggikan kalimah Allah, biarlah kita mulakan ia dengan menitiskan air mata kerana Allah, itu saja yang termampu kerana harga setitis air mata itu lebih mahal dari dunia dan segala isinya. Memang sungguh berbaloi!


Read more / Baca selanjutnya...

Monday, June 23, 2008

Darjat keikhlasan penentu kualiti ibadat

Amal pula mesti bermutu tinggi mengikut tertib dan sunnah Rasulullah SAW


SAAT melakukan amalan muhasabah menilai amalan diri sendiri, perkara pertama penting untuk disoal kepada diri ialah mengenai kesucian amalan. Apakah sudah hadir niat yang ikhlas pada setiap amal dikerjakan? Layakkah amal ibadat itu dipersembahkan kepada-Nya? Apakah sudah sempurna kefahaman mengenai ikhlas?



Ikhlas membawa maksud tidak mencampurkan amal dengan niat meminta pujian manusia atau melakukan amal kerana takut dicela orang, hendak mencari nama, darjat, penghormatan, kerana inginkan perhiasan dunia dan pangkat yang tinggi.



Ramai orang yang beramal tersalah faham mengenai hakikat ikhlas. Mereka memilih untuk tidak beramal jika hati belum dapat membulatkan niat kerana Allah. Kata mereka yang jahil ini, "Buat apa beramal jika Allah akan tolak?"

Masalah utama yang akan muncul selepas timbul persoalan dangkal ini ialah orang ini sudah membuka ruang untuk syaitan duduk dalam hati dan meniupkan rasa was-was sehingga semua kebaikan tidak akan dibuat kerana takut tidak ikhlas.

Untuk menguatkan azam dalam beribadat, al-Fudhail bin Iyadh memberi petuanya: "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak sedangkan melakukan amalan kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan kamu daripada kedua-duanya."

Maknanya dibuat juga amalan itu sambil berjuang memantapkan niat semata-mata kerana Allah. Sesungguhnya niat menjadi penyelamat terhadap rentetan amalan yang kita lakukan setiap hari.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan." (Surah Al-Furqan, ayat 23)

Apabila membaca wahyu ini, terasa hati kita begitu sedih memandangkan amal yang menjadi debu itu dan tiada nilainya di sisi Allah. Mungkinkah sembahyang, puasa, sedekah, zakat, haji atau keelokan budi pekerti yang kita tonjolkan terhadap sesama insan tidak dinilai Allah.

Hakikatnya dalam beramal, seorang hamba dituntut untuk memenuhkan syarat tertentu. Syarat wajib dilakukan untuk mendapatkan darjat orang yang ikhlas di sisi Allah:


Membuka dua tingkap dalam hati. Tingkap 'ikhlas' kerana Allah dan tingkap 'benar' caranya mengikut sunnah Rasulullah SAW, bukannya amalan rekaan manusia atau amalan mengikut rasa hati sendiri.

Al-Fudhail bin Iyadh berkata lagi: "Sesungguhnya amal itu apabila dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar caranya, maka ia tertolak. Dan jika dilakukan secara benar tetapi tidak ikhlas ia tidak akan diterima juga. Kedua-duanya mesti ada iaitu ikhlas dan benar."

Tatacara ibadah yang benar mestilah seratus peratus ikut cara Nabi SAW, bukan cara nenek moyang yang dipengaruhi budaya setempat, bukan cara syeikh yang suka menambah atau mengurang bahkan membuat sesuatu yang baru tidak pernah Rasulullah SAW amalkan.


Amal yang berkualiti. Bukan sekadar menunaikan kewajipan, tetapi memberi pengaruh ke atas seluruh tubuh badan, jiwa dan raga. Amalan sembahyang apabila dilakukan dengan berkualiti akan melahirkan sahsiah yang berdisiplin, rajin, jujur, amanah, dekat dengan Tuhan, jauh daripada maksiat, takut kepada akhirat dan berbekal untuk perjalanan ke alam barzakh.

Tetapi sembahyang yang hanya sekadar gerakan tanpa mempengaruhi apapun yang berada dalam jiwa dan raga orang itu maka sembahyangnya amat rendah kualitinya. Jika pun berpahala hanya Allah saja yang berhak menilai.

Kualiti sesuatu amal berkait rapat dengan pengaruh ditimbulkan dalam keperibadian seseorang. Tidak hairanlah jika ada orang yang sembahyang tetapi merampas harta saudaranya, berpuasa tetapi bercakap dusta dan menunaikan haji pun suka mengamuk sakan. Semua itu membuktikan rendahnya kualiti ibadah yang mereka kerjakan.


Beramal kerana mahu berbakti kepada Allah. Alangkah senangnya lidah melafazkan syukur kepada Allah, tetapi amalan dan perlakuan tidak menunjukkan sedemikian. Seorang hamba yang sudah melalui pelbagai rintangan untuk mendekati Allah jiwanya terlalu sensitif apabila menerima kenikmatan ataupun dilanda musibah. Kedua -dua keadaan ini tidak mempengaruhi sedikitpun kualiti amalannya di sisi Allah.

Ketika senang atau susah hatinya tetap dekat kepada Allah. Semua yang berasal daripada Allah baginya hanyalah nikmat belaka. Maka hanya rasa syukurlah yang menghiasi lidah dan hatinya. Jika begitu, dia tidak akan menyurutkan langkah ke belakang ketika susah. Ibadah dilakukan diiringi dengan kegembiraan, reda dan syukur kepada Allah.


Berhati-hati dengan rasa puas dan bangga. Amal boleh menyebabkan seseorang takbur dan sombong. Pandai menilai dan mengaibkan orang lain kerana kononnya ilmu dan amal yang dilakukannya lebih baik daripada orang lain. Selepas itu dia berasa berpuas hati dan tidak menemukan sebarang kecacatan dalam amalnya, berasa diri paling benar, paling tinggi imannya.

Maka lahirlah manusia yang terlalu yakin dengan kekuatan ilmu dan ibadatnya. Dia lupa siapakah sesungguhnya yang mencampakkan hidayah ke dalam hatinya, menggerakkan tubuh badannya untuk sujud, menuliskan catatan takdirnya hari ini, esok dan di penghujung hidupnya?

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam." (Surah al-Takwir, ayat 29). Di sini kita boleh melihat belitan syaitan yang begitu halus merosakkan amal ibadat seorang hamba.

Allah berfirman lagi yang maksudnya: "Jika tidaklah kerana kurniaan Allah nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya." (Surah Al-Nuur, ayat 21)

Orang yang sudah berpuas hati dengan amalannya akan dijangkiti penyakit malas untuk melakukan pembaikan. Ia berasa semua baik, jadi tidak perlu menambah ilmu dan amal. Lama-kelamaan dia pun terheret oleh arus semasa yang semakin mencabar. Amal dan ilmunya itu nyata tidak mencukupi untuk melawan kejahatan syaitan dan hawa nafsunya sendiri.


Menghadirkan rasa takut tidak diterima amal. Ketika melakukan sesuatu kebaikan yang diniatkan kerana Allah, seseorang hendaklah mendampingi niat itu dengan rasa takut, sedih dan harap supaya Allah menerima amalannya.

Keempat-empat perasaan itu bagaikan cahaya yang menghiasi hatinya iaitu, ikhlas, takut, sedih dan harap kepada Allah. Allah berfirman yang maksudnya: "Dan orang yang memberikan apa yang sudah mereka berikan dengan hati takut, kerana (mereka mengetahui) mereka akan kembali kepada Tuhan mereka." (Surah al-Mukminun, ayat 60)

Rasulullah SAW bersabda mengenai ayat ini yang maksudnya: "Mereka ini adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedekah tetapi ia takut amalannya itu tidak diterima." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Untuk apa seseorang itu beramal? Tentu saja kerana dia beriman kepada hari kiamat dan pembalasan yang akan diberikan kepada seluruh makhluk. Demi mengingati hari pengauditan yang begitu ketat dan mahkamah Allah yang Maha Adil sewajarnya kita mengamati kembali bekalan apa yang sudah dipersiapkan untuk ke sana.



Read more / Baca selanjutnya...